Monday, May 23, 2011

Bhavana Atas Metta

II) Metta Bhavana (Tafakur atas Metta)

    (Meditation on Loving-Kindness).

Kesesuaian : Sesuai untuk semua orang terutamanya mereka yang selalu merengus (hot- tempered)

Tujuan utama :
a)       Untuk  mengatasi kemarahan dan kekejaman.
b) Untuk memperkembangkan Metta (Loving-Kindness) dan Karuna (belas kasihan atau compassion).

Cara-cara :
 (1) Fikirkan diri sendiri dan bacakan :
Semoga saya sihat dan bahagia,
Semoga saya bebas daripada kemarahan dan kebencian,
Semoga saya bebas daripada penderitaan jasmani dan rohani,
Semoga saya dapat mempertahankan kebahagiaan sendiri.

(2) Kemudian fikirkan ibu bapa anda dan bacakan :
Semoga kamu sihat dan bahagia,
Semoga kamu bebas daripada kemarahan dan kebencian,
Semoga kamu bebas daripada penderitaan jasmani dan rohani,
Semoga kamu dapat mempertahankan kebahagiaan kamu sendiri.

(3) Fikirkan guru-guru anda dan baca seperti (2).

(4) Fikirkan seorang sahabat dan baca seperti (2).

(5) Fikirkan semua benda hidup dan baca seperti (2).
(6) Selepas menjalankan tafakur ini untuk beberapa lama, anda fikirkan musuh-musuh anda dan  baca seperti (2).

Bacaan-bacaan ini boleh berterusan selama 5-30 minit. Baca secara lisan atau mental.

Faedah lain :  Mahaguru Buddha pernah menyebut sebelas faedah cara tafakur ini.
  1. Tidur dengan nyenyak dan tenang.
  2. Bangun dengan tenang.
  3. Bebas daripada mimpi-mimpi yang mengerikan, menakutkan atau yang tidak diingini.
  4. Disukai oleh orang lain.
  5. Bebas daripada gangguan jiwa yang jahat (evil spirits)
  6. Dipertahankan oleh jiwa baik (good spirits).
  7. Tidak mengalami kemalangan daripada api, racun dan senjata.
  8. Dapat menumpukan perhatian dengan cepat.
  9. Wajah yang ramah.
  10. Meninggal dunia dengan deria-deria di bawah pengawalan anda.
  11. Jika pelajar-pelajar tidak meningkat ke peringkat keramat (sainthood) pada akhir hidupnya ini, maka pelajar-pelajar dilahirkan di dunia Brahma. (Pure Abode).

Tafakur ini juga berguna kepada kehidupan harian dengan menolong pelajar dan orang lain untuk hidup dengan harmoni dan bahagia, iaitu memperbaiki tolak ansur dan kesabaran serta perhubungan manusia.

Perhatian :
  1. Pelajar tidak harus fikirkan seseorang daripada jantina yang berlawanan melainkan jika pelajar dapat mengasingkan apa yang dimaksudkan dengan 'metta' yang tak terhad dan 'Pema', iaitu kecintaan yang bersifat badani (carnal love) dengan pertalian terbatas.

  1. Dengan memikirkan seseorang yang telah meninggal dunia apabila membaca tidak memberi apa-apa hasil.

Tafakur atas - Karuna (belas kasihan),
   Mudita (sukacita atas kejayaan orang lain) dan
   Upekkha (ketenteraman fikiran)
juga adalah sesuai untuk pelajar-pelajar baru.

TAFAKUR ATAS KARUNA merupakan percubaan untuk mengatasi kezaliman atau kekejaman. la termasuk secara automatik dalam bacaan-bacaan yang biasa dalam Metta Bhavana, sebab yang penting dalam tafakur Karuna ini ialah bacaan : Semoga saya (atau anda) bebas daripada penderitaan.

TAFAKUR ATAS MUDITA merupakan percubaan untuk mengatasi perasaan iri hati dan untuk memperkembangkan suatu keadaan fikiran di mana seseorang dapat merasai sukacita atas kejayaan dan kegembiraan orang lain. Bacaan-bacaannya adalah berbentuk sama seperti Metta Bhavana tetapi perkataan-perkataannya mementingkan benda-benda yang mengakibatkan keseronokan duniawi :
Semoga saya dapat sentiasa menikmati kebahagiaan saya,
Semoga saya dapat sentiasa menikmati kemakmuran dan kemuliaan saya (atau benda duniawi lain),

Apabila pelajar-pelajar memikirkan mereka yang menimbulkan kecemburuan dan perasaan iri hatinya, maka "saya" digantikan dengan"anda".

TAFAKUR ATAS UPEKKHA bertujuan untuk mengatasi perasaan berat sebelah, prasangka dan memperkembangkan suatu keadaan fikiran yang seimbang yang sukar diganggu oleh lapan keadaan duniawi :

Keuntungan,
Kerugian,
Kepujian,
Kecelaan,
Kemasyhuran,
Ketidakharuman nama,
Kebahagiaan,
Kedukaan/kesedihan.

Bentuk bacaan untuk jenis tafakur ini berasaskan pada suatu kefahaman karma, iaitu segala yang terjadi ke atas setiap orang diakibat oleh diri sendiri. Kebaikan yang dinikmati oleh orang itu adalah akibat daripada sesuatu perbuatan baik yang pernah dilakukan sama ada dalam kehidupan ini atau yang lepas, manakala keburukan yang dialami pula akibat daripada sesuatu perbuatan yang buruk yang pernah dilakukannya. Bacaannya adalah seperti berikut :

Saya adalah pemilik kamma saya.
Anda adalah pemilik kamma anda.

No comments:

Post a Comment